Rosli Dhoby

Rosli Dhoby
Kelahiran18 Mac 1932
Kampung Pulo, Sibu, Kerajaan Sarawak
Meninggal dunia2 Mac 1950 (umur 17)

Rosli Dhoby (18 Mac 1932 – 2 Mac 1950) merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British.[1] Beliau berketurunan Melayu, berdasarkan darah bapanya yang berketurunan Palembang manakala ibunya berketurunan Melayu dan Melanau.[2]

Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas keselamatan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya mati di tali gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama digantung ialah rakan seperjuangannya, Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan antipenjajah di Sarawak berakhir secara mendadak.[3]

Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara. Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Penjajahan yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat. Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu. Ketika itulah keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.[4]


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search